Friday, 13 April 2012

LAWATAN SILATURRAHIM KE INDONESIA


LAWATAN SILATURRAHIM WANITA IKRAM MALAYSIA & YAYASAN SALAM THAILAND KE INDONESIA
[BERSAMA BIDANG PEREMPUAN DEWAN PENGURUS PUSAT PKS]
( 30hb Mac hingga 4hb April )


Penat tetapi mengasyikkan........ Itulah kata-kata yang boleh diungkapkan sepanjang lawatan kami, wanita IKRAM mengunjungi Bidang Perempuan PKS yang menamakan program lawatan ini sebagai Workshop Ketahanan Keluarga Indonesia. Rombongan dari Malaysia terdiri dari 16 orang wanita IKRAM yang mewakili unit jaringan NGO Pusat dan juga pimpinan Wanita IKRAM  Negeri dan Daerah serta seorang pengiring lelaki. Manakala dari Thailand pula seramai 24 orang wanita mewakili Jawatan Kuasa  Pusat Yayasan Salam dan 2 orang pengiring lelaki. Kunjungan delegasi kedua-dua buah negara mendapat penghargaan luar biasa daripada tuan rumah yang diharap menjadi titik permulaan kepada pertemuan-pertemuan lain di nusantara ini pada masa akan datang.

Kesemua peserta delegasi ditempatkan di Wisma Makara UI (Hotel Universiti Indonesia) yang cukup selesa dan nyaman. Jaraknya lebih kurang 2-3 jam dari airport Jakarta. Sepanjang perjalanan lawatan menaiki bas selama 5 hari itu, kami sentiasa dibekalkan dengan makanan lazat yang dibungkus khas di dalam kotak kertas. Tidak pernah sekali pun dihidang atau dibungkus dalam polysterin atau plastik. Satu kebaikan yang boleh dicontohi oleh warga Malaysia.

 
Banner selamat datang di pintu masuk Wisma Makara, 
tempat penginapan kami di hotel Universiti Indonesia (UI)


 Ruang legar Wisma Makara





LAWATAN SILATURRAHIM KE INDONESIA (Hari 1)

Hari pertama kami dibawa mengunjungi Pesantren Yayasan al Hikmah, Sekolah Tinggi Ilmu Dakwah Dirosat Islamiyah Al Hikmah Jakarta (STID) - berjumpa dengan ketuanya Ust Ahmad Rofi’ Shamsuri, MA. Ia bermula sejak 1989 dan menawarkan bidang Komunikasi Penyiaran Islam dan Perguruan. Sekarang ia mempunyai 850 orang mahasiswa, 35 orang pensyarah lulusan BA, MA dan PhD yang majoritinya berkelulusan dari universiti terkemuka Timur Tengah. 


Walaupun dari segi fizikalnya tidaklah setanding dengan sumbangan dan pencapaiannya, namun kami merasa takjub dengan penerangan ustaz mengenai perkembangan dan kejayaan Pesantren sehingga tergerak di hati beberapa para pengunjung untuk menghantar anak2 mereka ke sini. Hadiah istimewa buat kita semua dari STID ialah ribuan bahan atau materi tarbiah dan dakwah berbentuk powerpoint dan lain-lain yang boleh kita guna untuk halaqah, daurah dsb. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, bolehlah melawat websitenya di: www.alhikmah.ac.id

Bangunan STID yang berwarna hijau


Rombongan Wanita IKRAM bersama 
Ust Ahmad Rofi’ Shamsuri, ustazah Amiroh, ibu Wirda dan ibu Neni


Setelah sepagi di Pesantren al-Hikmah, kami dibawa pula ke kota Serpong Banteng untuk melawat Pesantren Terpadu Darul Quran Mulia. Sekolah berasrama penuh ini mengintegrasikan pengajian deeniah, tahfiz dan akademik. InsyaAllah akan dibina pula kolam renang.(pelajar lelaki & perempuannya berasingan). Wah... tersergam indah musolla yang luas berkonsep terbuka. Kami disambut dengan beberapa persembahan dan dijamu dengan santapan yang sangat menyelerakan. 

Sebelum pulang, santapan rohani pula disajikan oleh ketua Lembaga Tahfiznya; Ust Abd Hasib Hasan. Beliau mengingatkan bahawa perlunya usaha yang bersungguh-sungguh selain daripada berdoa, "Rabbana hablana min azwajina........." dalam melahirkan imam kepada orang2 yang bertaqwa.

Bagaimana lahirnya sahabat dan para tabi’in yang hebat-hebat walhal tidak ada pendidikan formal seperti hari ini? Katanya para ibu dahulu menghafalkan al-Quran kepada anak-anak mereka. Mereka bukanlah sekadar menanamkan nilai tetapi  menanam perasaan bangga dan cinta kepada nilai-nilai Islam sehingga tidak merasa terbeban apabila berada dalam suasana yang bertentangan. Walaupun ibu-ibu berperanan langsung mentarbiah anak-anak disamping bapa-bapanya, ini tidaklah menafikan peranannya dalam mentaqwinkan masyarakat. Walau bagaimanapun kehebatannya di luar mestilah mempamerkan kehebatannya dalam mentaqwin baitul muslimnya terlebih dahulu. 

Selain itu kami juga diingatkan mengenai amalan-amaln syura dalam keluarga dengan membawa contoh kisah  Nabi Ibrahim bersama anaknya Ismail. Kami juga diingatkan dengan kepentingan berdoa agar Allah satukan hati-hati zauj dan anak-anak agar mudah meneruskan amal-amal menuju wawasan.


Untuk maklumat lanjut mengenai Pesantren Terpadu Darul Quran Mulia Serpong bolehlah tanya pakcik google dengan menaip nama pesantren tersebut. InsyaAllah pelajar luar negara pun diterima dan nampaknya menghantar anak ke sana merupakan satu pelaburan yang menguntungkan.

 Salah seorang pelajar tahfiz Pesantren Terpadu Darul Quran Mulia memperdengarkan hafalan beberapa ayat Quran


 Wanita IKRAM bersama ibu Rohanah 
dan pengurus-pengurus Workshop Ketahanan Keluarga


 Pelajar-pelajar Puteri mentasmi’ al Quran selepas solat Asar


Banner di tepi jalan masuk ke 
Pesantren Terpadu Darul Quran Mulia


Dalam perjalanan pulang, kami dijamu makan nasi padang di Restoran Sederhana yang dimiliki oleh sahabat PKS di jalan Basuki Rahmat.


 Masakan Padang di Restoran Sederhana 
dan Warong Satay milik ikhwan






LAWATAN SILATURRAHIM KE INDONESIA (Hari 2)

Hari kedua barulah diadakan perasmian dan sesi taaruf memandangkan rombongan Thailand baru sahaja sampai. Kebanyakan mereka datang dari Patani, Yala dan Naratiwat. Walaupun berdepan dengan pelbagai rintangan luar dan dalam, mereka amat bersyukur kerana tautan hati atas dasar aqidah dan fikrah telah mempertemukan kami dari 3 buah negara. 

Pagi itu kami ditayangkan dengan filem ‘Jalan Menuju Syurga adalah Keluarga’. Apa-apa pun keluarga adalah yang paling utama. Kabidpuan, Ketua Bidang Perempuan Dra Anis Byarwati menjelaskan bagaimana muslimah PKS menyingkapi dakwah dengan terlibat dalam aktiviti membangunkan ekonomi keluarga (Pos Ekonomi Keluarga) dan aktif membela wanita dan keluarga sampai ke parlimen. 

Kini Bidang Perempuan PKS sedang melakukan pelbagai usaha bagi meningkatkan kualiti keluarga warga Indonesia agar persoalan keluarga dijadikan satu momentum dalam pembangunan negara dan menjadi sebahagian daripada sektor dalam struktur pemerintahan.  

 Pembukaan Workshop dengan bacaan al Quran
oleh anak Farwah bersama Lilit Solihah sebagai pengerusi majlis


 Wanita IKRAM bersama Pak Taufik, pengiring Yayasan Salam, pengiring Wanita IKRAM, Dra Anis Byarwati dan Kak Hamidah ketua delegasi Yayasan Salam.


Setelah bertaaruf, kami bertolak ke kota Depok yang terletak di Jawa Barat. Kami sampai pada waktu tengah hari untuk berjumpa dengan Walikota Dr Ir Hj Nur Mahmudi Ismail dan isterinya Hjh Azizah Tamhid.  Mereka begitu mesra dan seronok melayan kami dengan jamuan tengah hari sambil menjelaskan strateginya menjadikan kota Depok, kota yang maju dan sejahtera dengan mengutamakan aspek-aspek ketahanan keluarga. Walikota dipilih oleh rakyat dan mewar-warkan keinginan menjadikan partinya sebagai parti dakwah yang kukuh dan transformatif.

Kota Depok yang hanya bersaiz 200 km persegi telah menjadi tarikan penghijrahan warga luar sehingga kini mempunyai 1.8 juta jiwa penduduk. Buah belimbing yang besar kekuningan emas menjadi ikon dan buah keunggulan kota. Kami juga sempat merasa kemanisan buahnya :)
 

 Bersama Walikota Depok, Hj Nur Mahmudi Ismail 
dan isterinya Hajah Azizah Tamhid


Setelah menunaikan solat di masjid kota Depok, bas yang dinaiki membawa kami ke sebuah Pos Ekonomi Keluarga (EKA) di Depok. Disamping berbelanja membeli barangan kraf mereka, setiap kami dihadiahkan beberapa cenderahati hasil karya mereka. Kami dikhabarkan bahawa terdapat ribuan pos (EKA) di seluruh negara dengan projek kraf yang berbeza dan hampir 1000 terdapat di Depok. 

Akhir-akhir ini PKS telah menggerakkan kader-kader perempuannya di seluruh provinsi untuk mengembangkan upaya peningkatan ekonomi keluarga, mencerdaskan, dan meningkatkan keterampilan anggota keluarga melalui Pos Wanita Keadilan Berbasis Ekonomi dan Pendidikan. Mereka juga komited menguatkan ikatan dalam keluarga lndonesia melalui Rumah Keluarga lndonesia (RKl) yang dipelopori dan dikembangkan bersama-sama dengan masyarakat setempat. RKI bertujuan memberikan kaunseling dan pendidikan kepada masyarakat mulai pranikah, setelah nikah, hingga memiliki anak agar terbinanya keluarga yang kukuh dan harmoni.


 Lawatan ke Pos EKA di Depok

 Beg hasil tangan dari plastik terbuang di Pos EKA kota Depok


Dalam masa yang suntuk dan berhujan, kami hanya sempat dibawa melawat satu pos sahaja. Perjalanan diteruskan dan akhirnya sampai di Dewan Pimpinan Tingkat Pusat PKS ( Markaz PKS) ketika waktu Maghrib. 

Setelah solat dan makan malam di situ, kami dihidangkan juga dengan taujihat oleh seorang ustaz. Mengikut jadual, di dewan inilah kami akan berjumpa dengan Presiden PKS, Ust Luthfi Hassan Ishaq, MA tetapi kesibukannya membuatkan sesi tersebut dibatalkan. Alhamdulillah taujih yang diberi oleh ustaz sungguh menyegarkan. Setelah memberitahu kami agar melayani diri dengan menganggap dewan itu sebagai tempat sendiri kerana ia adalah markaz dakwah, ustaz terus mengingatkan bahawa wanitalah yang telah banyak berkorban untuk dakwah. Ustaz telah mengaitkannya dengan kisah-kisah dalam al Quran seperti kisah isteri Fira’un, Ratu Balqis, Mariam ibu nabi Isa, kesan tarbiah Siti Hajar ke atas anaknya Ismail yang sangat taat kepada Allah dan juga kisah2 wanita dalam seerah nabawiyah. Alhamdulillah, keletihan kami diubat dengan suntikan yang tak dapat dilupakan insyaAllah.


 Markaz Dakwah di bangunan PKS


LAWATAN SILATURRAHIM KE INDONESIA (Hari 3)

Hari ketiga, kami berkunjung lagi ke Dewan Pimpinan Tingkat Pusat PKS atau Markaz Dakwah untuk berjumpa dengan pengurus SALIMAH  salah satu wadah Bidang Perempuan PKS sebagai organisasi masa (ormas) Persaudaraan Muslimah PKS. Kami disambut dengan alunan lagu SALIMAH oleh pasukan pengurusnya. Perkongsian gerak kerja serta aktiviti wanita dari ketiga buah negara telah juga dibentangkan. Pelbagai aktiviti dan program telah dikendalikan SALIMAH tanda kepedulian mereka terhadap perempuan, keluarga dan anak warga Indonesia. Untuk maklumat lanjut boleh layari: www.salimah.org.id


 Pengurus SALIMAH memperdengarkan lagu Salimah
 
Pada tengah harinya, kami dibawa ke Dewan Parlimen Republik Indonesia DPRI sebagai tetamu khas Ahli Legislatif Aleg Ustazah Herlini Amran. Kami diberitahu terdapat 8 partai dan 390 kerusi dalam DPRI di mana PKS mempunyai 57 kerusi yang terdiri dari 3 orang perempuan iaitu almarhum ibu Yoyoh, ibu Lidia Hanifah dan ustazah Herlini Amran sendiri. 

Di antara fungsinya adalah untuk memantau beberapa kementerian. Walaupun sibuk dengan tugasannya ditambah dengan rakyat di luar sana yang masih berdemo terhadap kenaikan minyak, sempat juga dia melayani kami dengan mesra dan tawaddu’ walau pun sekejap. Kata-kata awalnya adalah “Dimana saja kita berada, kita adalah daie’. Walaupun menjadi aleg, tetapi peranan utamanya adalah berdakwah. Akhirnya setiap seorang daripada kami dihadiahkan dengan sebuah buku hasil karyanya sendiri yang berjudul ‘Fikih Wanita – Panduan Harian Muslimah’. Masya Allah...... sibuk-sibuk pun masih sempat menghasilkan buku.


 Bersama Aleg Ibu Herlini Amran di DPRI


 Wanita IKRAM bersama Ustazah Herlini Amran di 
Dewan Mesyuarat PKS Bangunan Parlimen Republic Indonesia
Setelah makan siang di DPRI, kami meneruskan perjalanan untuk bertemu Menteri Komunikasi dan Informatika (Menkominfo). Singgah sekejap untuk solat zohor dan asar di masjid Depok. Disini terdapat sukarelawan/petugas khas untuk menyimpan kasut dan sandal bagi mereka yang datang ke masjid. Tak perlu bimbang akan kehilangan kasut lagi. 

Menjelang waktu Maghrib, kami tiba di rumah kediaman rasmi Menkominfo Hj Ir Tiffatul Sembiring menteri komunikasi dan informatika bersama isterinya Ibu Sri Rohayu yang juga Aleg DPRD. Setelah solat kami dijamu dengan grand dinner. Alhamdulillah, makanannya enak sekali. MasyaAllah, walaupun dah jadi menteri; masih sebati dengan semangat dakwah. 

Beliau memberikan ucapannya secara ringkas tentang perjalanan hidupnya dari awal mengenal tarbiah hinggalah menjadi menteri. Dikatakan kisahnya pasti akan menitiskan air mata dan kisah tersebut sedang dibukukan dengan judul yang bertajuk ‘Di Sepanjang Jalan Dakwah’ (masih menunggu untuk dicetak). Rasanya kami semua pakat tempah. InsyaAllah boleh kongsi nanti. Ada juga soalan diajukan mengenai peristiwanya bersalaman dengan 1st lady Obama. Alhamdulillah mantap jawapannya. Dalam majlis bersama Menkominfo ini kami berkesempatan juga bertemu dan bergambar dengan Dra. Hj. Wirianingsih, M. Si  ibu kepada 10 anak penghafal Qur’an dan juga bekas presiden Badan Musyawarah Organisasi Islam Wanita Indonesia BMOIWI. Kepetahannya bercakap mengkagumkan pendengar. Masa terlalu suntuk, tak sempat nak bertanya hal. Diberitahu yang dia pun ada menulis buku berkaitan dirinya. MasyaAllah kena tahu bagaimana mereka boleh mencapai ketahap ini.
 

 Pelbagai jenis makanan yang enak2 di sajikan 
oleh Pak Menteri Menkominfo


 Menteri Komunikasi dan Informatika 
Hj Ir Tiffatul Sembiring sedang berucap 
 
Siti Arfah Unit Jaringan WIKRAM, Dra. Hj. Wirianingsih M.Si bekas KBMOIWI, 
Wan Kamariah KWIKRAM Ps



LAWATAN SILATURRAHIM KE INDONESIA (Hari 4)

Hari keempat lawatan kami dibawa pula ke Rumah Zakat di MADANI CENTER-Family Resort and Training Centre  Bandung.Oh cantik sekali pemandangannya. Ada disediakan bilik2 penginapan, dewan seminar dsbnya. Websitenya:  www.madanicenter.com   
 Disini kami diketemukan dengan Ustaz Hilmi ketua majlis syura PKS dan hanya sempat beberapa minit sahaja berdialog dengan delegasi Wanita IKRAM dan Yayasan Salam. Beliau bercerita panjang mengenai sejarah kemasukan Islam ke Indonesia untuk memahami perkembangan dakwah di Indonesia. MasyaAllah begitu kuat ingatan ustaz, dikisahkan kepada kami sejarahnya tahun demi tahun dengan bermulanya kemasukan Islam sejak zaman Uthman b Affan lagi. Pendatang asing datang sebagai pendakwah sambil berdagang dan berjaya mengislamkan raja-raja serta rakyatnya sehinggalah datang penjajah barat .....Macam duduk dikelas sejarah pula,
 Sebelum itu makan tengah hari kami dihidangkan dengan pelbagai jenis lauk yang enak masakan Bandung. Teringat pesanan ustazah Arpah selaku ketua rombongan kami agar membaca, menghafal dan merenungi  surah  al Mulk : 15  

'  Dialah yang menjadikan bumi untuk kamu yang mudah dijelajahi, maka jelajahilah disegenap penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezkiNya. Dan hanya kepadaNyalah kamu ( kembali setelah ) dibangkitkan.'

                      
Satu lagi perkongsian daripada MADANI CENTER dan Rumah Zakat Bandung yang mungkin boleh dimanfaatkan oleh IKRAM Malaysia ialah mereka telah diberi kepercayaan untuk mengoptimalkan kutipan zakat, infak, sedekah dan dana kemanusiaan ( sebagai salah satu Lembaga Amil Zakat Nasional ) dengan melaksanakan program ' Gerakan Merangkai Senyum Indonesia' . Gerakan ini telah mengambil peduli terhadap keperluan masyarakat Indonesia melalui  tiga program yang menarik dan unik; 

 Senyum Juara ( Pendidikan)    
 Senyum Mandiri ( Ekonomi )        
Senyum Sehat ( Kesihatan )           
Senyum Lestari (Lingkungan)

Mereka berazam menjadi World Class Socio-Religious NGO dalam membantu memberdayakan masyarakat.

Maklumat lanjut boleh layari: www.rumahzakat.org ( Tekan program BIG SMILE Indonesia )


MasyaAllah inilah habuan dunia mereka2 yang ikhlas , bersungguh-sungguh menegakkan kebenaran dan mahu kepada kebaikan maka diluangkan Allah jalan kebajikan sebagai bekalan hari akhirat. Moga Allah berkati usaha mereka.


 Pemandangan yang indah ketika menuruni tangga ke Dewan Rumah Zakat


 Peserta berada di Dewan Rumah Zakat, Bandung


 Penerangan mengenai aktiviti Madani Center Bandung


Pada sebelah malamnya, sekali lagi kami dijamu makan. Kali ini di restoran belakang kedai pakaian milik zaujah Ustaz Hilmi. Hampir lewat malam baru kami sampai di Makara. Pada keesokan paginya (selepas subuh) rombongan dari Thailand memohon diri untuk berangkat pulang. Kami wanita IKRAM masih ada beberapa jam untuk memilih beberapa cenderahati di kedai buku UI dan di pasar Tanah Abang. Alhamdulillah perjalanan kami sentiasa didampingi oleh beberapa orang pengurus Workshop Ketahanan Keluarga. Sempatlah membeli belah secara express kerana terpaksa berkejar ke airport pula untuk penerbangan KLM yang akan bertolak pukul 8.20pm nanti. Perjalanan dari Tanah Abang ke airport mengambil masa 2-3 jam.


 Posing bersama akhawat Thailand selepas makan malam di 
restoran Rabbani semasa balik dari Rumah Zakat


Bergambar bersama pengurus Workshop Ketahanan Keluarga 
di luar musolla UI berhampiran kedai buku


WALAU KITA BERBEZA TETAPI HATI, 
FIKRAH & MISI KITA SAMA MAKA KITA BERTEMU.



DIMANA SAHAJA KITA BERADA KITA ADALAH DU'AT, MENGEMBARA DI BUMI ALLAH DENGAN PETUNJUK AL-QURAN DAN SUNNAHNYA.


DUNIA INI IBARAT HABUK KECIl DI DALAM SATU BILIK YANG BESAR.


'Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh dan ia berkata ''Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri''

S. Fushshilat :33


Ya Allah...Semoga perkongsian ini mendorong kita semua untuk terus berada dan aktif dalam kafilah dakwah dalam mencari  keredhaanNya Amin.